Blog Kampung Mela, Nostalgia, "First Love" Dan Sejarah
WZWH baru terjumpa blog Kampung  Mela. Blog ini dicipta pada Oktober 2010. Tidak diketahui siapa  bloggernya tapi tentu anak Kampung Mela.
Penulis blog menghasilkan 52  posting semuanya berkenaan Kampung Mela. Semua posting dibuat pada bulan  Oktober 2010. Selepas itu tiada posting dihasilkan. WZWH suka blogger  yang tulis pasal sejarah, tradisi, politik, ekonomi dan sosial kampung  sendiri.
WZWH pun listkan blog Kampung  Mela dalam blog Jerantut. Kampung Mela terletak dalam Daerah Kuala Lipis  Mukim Cheka. Kampung Mela merupakan kampung paling hilir Sungai Jelai  yang berakhir di Kampung Kuala Tembeling. Ada lagi kampung yang paling  hilir sekali iaitu kampung Tanjung Bungor.
Kampung Mela terdiri dari  beberapa subkampung lagi seperti Kg Mela Tengah, Kg Selang Dato', Kg  Hilir, Kg Atil, Kg Serunai, Kg Temunga, Kg Serdang, Kg Talus, Kg Bungor,  Kg Chagah, Kg Gemunchur, Kg Ganding, Kg Temetong, Kg Limau Purut yang  terkenal dengan bomoh atau tabib patah, dan Kg Jeram Landak.
Kampung Mela merupakan salah  sebuah perkampungan yang berada dalam Mukim Cheka 1. Lokasinya terletak  32 km dari Bandar Jerantut dan 38 km dari Bandar Kuala Lipis. Keluasan  kampung ini dalam lingkungan 833 hektar dengan bentuk muka buminya yang  berbukit-bukau. Sekolah Kebangsaan Mela merupakan bangunan tertinggi  yang terdapat di kawasan ini, tambahan pula kedudukan sekolah tersebut  dibina di atas kawasan yang berbukit. Hal ini menjadikan sekolah  tersebut sebagai mercu tanda bagi penduduk di kampung ini. Malah,  perkhidmatan Kereta api Tanah Melayu yang menghubungkan Daerah Tumpat ke  Singapura turut melalui kawasan perkampungan ini.
Penduduk di kampung ini  menjalankan kehidupan seharian secara sederhana dan jalinan hubungan  sesama penduduk kampung yang baik mewujudkan sebuah perkampungan yang  aman dan damai. Penduduk di kampung ini mengekalkan adat resam Melayu  yang mementingkan adat sopan dan saling menghormati antara satu sama  lain. Amalan ini yang menjadi salah satu keistimewaan yang terdapat pada  penduduk di kampung ini.
Sungguhpun Kampung Tanjung  Bungor (KTB) terletak dalam Mukim Cheka, Daerah Lipis, namun jaraknya ke  bandar Lipis tidak kurang 30 Kilometer. Bandar terhampir adalah bandar  Jerantut yang hanya 17 kilometer keselatan (kira-kira 15-20 minit  memandu melalui jalan "rollercoaster". Jadi KTB adalah kampung yang  paling hilir dalam daerah Lipis jika mengikut aliran sungai Jelai. Pekan  yg terhampir adalah Pekan Kuala Tembeling (2 KM) di sebelah Jerantut  dan Pekan Mela (4 KM) menghala ke Kuala Lipis. Perkhidmatan bas ke  Bandar yang melalui KTB adalah bas Jelai (Transnasional) dan Pahang Ling  Siong. Bagi perkhidmatan kereta api, tren henti-henti dari Jerantut -  Lipis ada singgah di pekan Mela. Kampung-kampung jiran terutamanya yg  terletak diseberang sungai Jelai menghadapi nasib yg sama dengan  KTB...tinggal nama...seperti Kampung Paya Bo, Kampung Chagah, Kampung  Gemuncur, Kampung Gelugur, Kampung Talus dan lain-lain. Penghijrahan  besar-besaran penduduk ke tanah-tanah rancangan Felda pada awal tahun  1970an meninggalkan kampung sehingga lengang. Sebahagian lagi berhijrah  dengan membina kerjaya di luar dan enggan pulang apabila pencen. Banjir  yang melanda pada tahun 1971 dan 1990 melemahkan semangat anak kampung  untuk menetap dan membina rumah di KTB.
WZWH dibesarkan di Kampung Kuala  Tembeling lebih kurang 4 batu dari Kampung Mela. Kehidupan kanak-kanak  dan remaja (semasa cuti sekolah) banyak dihabiskan di Kampung Kuala  Tembeling. Pada awal 1980an ramai budak lelaki di Kg Kuala Tembeling  manakala ramai budak perempuan di Kg Mela. Bila Hari Raya selalunya WZWH  dan kawan-kawan suka pergi beraya ke Kg Mela kerana ramai remaja  perempuan yang cantik di kampung itu.
"First love" WZWH bermula di Kg  Mela. WZWH dulu pada awal tahun 1980an pernah ada "girlfriend" di  Kampung Mela. Seorang anak dara kampung yang cantik, baik budi bahasa,  pandai memasak dan mengemas rumah dan anggun. Itu cerita nostalgia  "first love" yang WZWH tidak dapat lupakan.
WZWH telah diberitahu bahawa  moyang WZWH yang bernama Wan Ismail bin Tun Salleh mempunyai seorang  isteri yang bernama Khaimah merupakan anak Orang kaya Mela. Semasa  moyang WZWH mengulangi isterinya di Kg Mela dari Kg Pulau Besar Ulu  Tembeling masa itulah Orang Besar Berempat Maharaja Perba Jelai memberi  mesej kepada beliau supaya mengambil Wan Ahmad (Sultan Wan Ahmad) dari  Ulu Dungun, Terengganu.
Lalu Wan Ismail dan tujuh  pendekar Kg Janing datang mengambil Wan Ahmad dan mereka bersumpah setia  di Kg Pasir Raja dan bila sampai ke Ulu Tembeling bersama dengan orang  Tembeling mudik Sungai Tembeling dan berjumpa dengan orang Jelai  pengikut Maharaja Perba Jelai di Pasir Tambang Kg Kuala Tembeling.
Di Pasir Tambanglah pada tahun  1862 Wan Ahmad diangkat oleh orang Tembeling dan orang Jelai memulakan  satu revolusi Pahang yang berjaya menjatuhkan Bendarahara Tun (Wan)  Mutahir. Sebelum ini sudah berpuluh-puluh serangan  dilancarkan oleh Wan  Ahmad tetapi semuanya gagal.
WZWH juga diberitahu keturunan  isteri Wan Ismail yang bernama Khaimah ini ada di Kg Limau Purut iaitu  keluarga bomoh patah yang terkenal itu.
WZWH dilahirkan di Kuala Lipis  pada 21 Januari 1968 di Hospital Kuala Lipis. Selepas itu ketika bayi   WZWH dibawa naik keretapi dari Bandar Kuala Lipis ke Stesen kecil  Keretapi Kg Sepial berhampiran Kg Kuala Tembeling melalui Stesen  Keretapi Mela.
Ini cerita Mela railway station in memory yang WZWH petik dari Blog Kampung Mela...
Stesen  keretapi Mela pada awal tahun 1960an merupakan sebuah stesen yang  sentiasa sibuk. Keretapi adalah satu-satunya pengangkutan darat yang  terdapat di sini untuk pergi ke bandar seperti Kuala Lipis atau  Jerantut. Begitu juga untuk ke tempat-tempat lain seperti Kuala Lumpur  Dan Singapura. Perkhidmatan keretapi adalah merupakan nadi utama kepada  penduduk kampung untuk bergerak ke destinasi tersebut.
Selain dari itu, stesen keretapi juga menjadi tempat tumpuan aktiviti kepada penduduk kampung. Dari tempat bertemu rakan-rakan untuk berbual, stesen ini juga menjadi tempat tumpuan para peniaga menjual hasil kampung seperti buahan dan sayuran. Pada waktu itu terdapat perkhidmatan keretapi yang dipanggil "serindik" yang membuat perjalanan dari Kuala Lipis ke Kampung Mela Pada pagi dan petang hari. Perkhidmatan mel ekspres juga berhenti menurunkan dan menaikkan penumpang yang hendak pergi ke pantai timur atau selatan termasuk Singapura. Kemeriahan stesen ini amat terasa pada waktu tersebut. Di stesen ini jugalah menjadi tempat bujang dan dara bertemu kali pertama dan mungkin juga membawa ke jinjang pelamin. Kesibukan peniaga jalanan yang menjunjung bakul di atas kepala sambil membuat jualan samada buahan atau makanan kepada para penumpang keretapi pada waktu itu amat memeriahkan suasana.
Selain dari itu, stesen keretapi juga menjadi tempat tumpuan aktiviti kepada penduduk kampung. Dari tempat bertemu rakan-rakan untuk berbual, stesen ini juga menjadi tempat tumpuan para peniaga menjual hasil kampung seperti buahan dan sayuran. Pada waktu itu terdapat perkhidmatan keretapi yang dipanggil "serindik" yang membuat perjalanan dari Kuala Lipis ke Kampung Mela Pada pagi dan petang hari. Perkhidmatan mel ekspres juga berhenti menurunkan dan menaikkan penumpang yang hendak pergi ke pantai timur atau selatan termasuk Singapura. Kemeriahan stesen ini amat terasa pada waktu tersebut. Di stesen ini jugalah menjadi tempat bujang dan dara bertemu kali pertama dan mungkin juga membawa ke jinjang pelamin. Kesibukan peniaga jalanan yang menjunjung bakul di atas kepala sambil membuat jualan samada buahan atau makanan kepada para penumpang keretapi pada waktu itu amat memeriahkan suasana.
Stesen ini juga menjadi tumpuan terutamanya apabila ada pertunjukan seperti tayangan wayang gambar (wayang pacak) yang dibawakan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk menghiburkan pekerja-pekerja keretapi yang tinggal di kuarters KTM. Penduduk kampung turut sama datang beramai-ramai untuk menonton tayangan gambar tersebut. Di kawasan stesen inilah layar dipasangkan untuk penduduk kampung melihat pertunjukan wayang gambar. Penulis masih ingat lagi, tayangan akan diberhentikan sebentar apabila ada keretapi mel ekspres atau barang yang berhenti atau melalui stesen ini. Kemeriahan sekali lagi terasa apabila terdapat gerai jualan seperti makanan dan minuman di sini pada masa pertunjukan tersebut.
Pada zaman dimana penggunaan keretapi wap, stesen ini menjadi tempat untuk mengisi air di lokomotif. Air tersebut untuk menghasilkan wap yang akan menggerakan keretapi tersebut. Terdapat sebuah stesen pam air yang disediakan oleh pihak KTM di Kampung Selang Datuk, dimana sebuah perigi besar digali dan sebuah pam air yang menggunakan arang batu dipasang. Semasa penulis masih tinggal bersama keluarga di Kampung Selang Datuk, setiap pagi kami mandi air panas yang dihasilkan oleh pam air tersebut. Pam air akan dijalan kan pada waktu pagi untuk memenuhkan tangki air yang dipasang berdekatan stesen. Air dari tangki akan disalurkan ke lokomotof apabila diperlukan. Pam air telah tidak digunakan lagi apabila pihak KTM menukar lokomotof berinjin wap kepada injin disel. Semua peralatan termasuk tangki dan hos besar yang terdapat di stesen tersebut telah ditanggalkan.
Kini semuanya tinggal kenangan. stesen yang diperbuat dari kayu keras masih utuh, tetapi kemeriahan stesen ini sudah tiada lagi. Masih terbayang orang ramai yang memenuhi stesen ini terutamanya semasa hari raya kedua apabila ramai penduduk sekitar kampung beramai-ramai berkumpul untuk ke Kuala Lipis melihat tayangan wayang gambar di panggung di bandar Kuala Lipis, maklumlah pada waktu itu tiada siaran televisyen atau video seperti sekarang. Panggung wayang gambarlah yang menjadi tarikan utama.
Stesen Keretapi Mela mungkin akan kembali meriah apabila sistem elektrifikasi keretapi disambung hingga ke Stesen Tumpat. Itupun entah bila.....
Sumber: 
http://wzwh.blogspot.com/2011/02/blog-kampung-mela-nostalgia-first-love.html 
 
 






